Header Ads

ASHABUL KAHFI - Jangan Lalai Inilah Kisah yang Banyak Memberi Pengajaran Buat Kita Semua

Adakah anda semua masih mengingati kisah ASHABUL KAHFI...kisah yang banyak memberi pengajaran buat kita semua...kisah ini diceritakan dalam SURAH AL-KAHFI.....
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (al-Kahfi: 13 )

Pemuda-pemuda itu berhenti melepaskan lelah. Peluh menitis membasahi dada dan tengkuk. Terikan matahari menambah lagi rasa haus. Mereka sungguh letih, mereka juga lapar. Tetapi mereka tidak boleh berhenti lama. Musuh bila-bila masa sahaja akan dapat menghidu gerak langkah mereka. 

Mudarat terlalu besar jika mereka terus berada di kota atau bertahan lebih lama. Akhirnya langkah mereka sampai ke gua. Oh Tuhan, Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

Gua yang gelap menjadi pilihan Allah untuk mereka. Boleh jadi ada kerahmatan dari sisi Allah untuk mereka di sini setelah seisi kota memusuhi mereka. Mereka bukan sahaja bermusuh tetapi ingin merejam dan membunuh mereka.

Bumi yang luas dirasakan sempit apabila desakan dan tentangan dakwah mereka diancam. Jika mereka terus tinggal, satu persatu nyawa mereka akan hilang sedangkan mereka masih muda. Mereka masih baru. Mereka perlu selamatkan diri. Dakwah ini lebih panjang. Desakan demi desakan yang membahayakan menjadikan mereka hampir lemas dan tewas.

Tidak! Iman tidak sesekali akan tewas pada kekufuran. Itulah nekad mereka. Mereka bangkit berdiri. Mereka telah nyatakan apakah yang hak dan apakah yang batil. Buat masa ini mereka perlu bertahan. Mungkin berundur sebelum mengambil langkah seterusnya. 

Barangkali gua yang suram boleh membuka jalan ilham dari Allah yang lebih terang. Barangkali Allah ingin tunjukkan bahawa memadai dalam gua yang kecil ini mereka mampu mengatur semula langkah dakwah yang lebih besar dan lebih berkesan pada keesokan hari.

Akhirnya mereka bersandar di dinding gua, menghela nafas yang panjang. Takut, waspada, redha dan syukur. Perasaan bercampur-baur. Tetapi hati mereka tetap cemas. Bimbang dan cemas untuk menutup mata. Bagaimanakah jika mereka tertidur musuh datang mengheret mereka? Bagaimana jika mereka terlelap keselamatan saudara-saudara seperjuangan akan terancam?

Masing-masing memandang wajah-wajah saudara mereka yang sudah keletihan. Mereka juga letih seperti dirinya. Tetapi mereka masing-masing sanggup buat apa sahaja untuk menjaga keselamatan sahabat-sahabat seperjuangan. Mereka sanggup meminggirkan kantuk, membuang penat sendiri kerana mengenangkan saudara-saudara mereka ini yang bertungkus menghayun langkah dan dakwah.

‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi!’
‘Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya’
‘Jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.’

Peristiwa, tutur kata dan karekter berani sahabat-sahabat mereka di kota tadi bagaikan tayangan yang berulang. Peristiwa itulah pengalaman dakwah yang paling kemuncak mereka lakukan. Biarpun pedih dengan kata nista yang dilemparkan, biarpun teruk layanan yang mereka terima akan tetapi mereka tetap hadapi tekanan, bantahan dan celaan dengan sabar. 

Keadaan menjadi kian runcing, apabila mereka menjadi buruan, mereka diisytihar sebagai kumpulan yang salah dan diancam dengan hukuman, maka demi keselamatan mereka dan masa depan dakwah akhirnya membawa mereka ke gua.
‘Sepatutnya kaum kita yang menyembah tuhan-tuhan yang banyak nyatakan hujah’, kata salah seorang dari mereka.

‘Ya, sepatutnya mereka boleh datangkan hujah dan bukti tentang tuhan yang mereka sembah’, sahut seorang lagi.
‘Mereka zalim dan menzalimi diri sendiri’ ujar yang lain pula.

Andainya mereka berfikir untuk mencari-cari hujah. Bukan mengikut emosi, bukan hanya mengikut sahaja cara hidup tradisi. Sudah tentu mereka tidak menolak. Mereka bukan tidak cerdik. Ada yang memimpin masyarakat. Ada yang bijak mencari kekayaan. Ada yang memimpin kota dan berkuasa sebagai penguasa.

‘Tidak sepatutnya mereka menolak dan berdusta terhadap Allah Tuhan yang sebenarnya’.

Akhirnya Allah tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu. Hari berganti hari, minggu bertukar, musim berubah…Biarpun matahari terbit dan memacar cahaya menembusi gua di sebelah kanan dan tenggelam di sebelah kiri mereka. Mereka terus lena.

Sesekali posisi badan mereka berubah, anggota mereka bergerak-gerak dan mata mereka tidak rapat tertutup lantaran cemas dan waspada. Tetapi mereka tidur bertahun-tahun dalam jagaan Allah dengan seekor anjing serigala penjaga di pintu gua.
Kemudian Allah bangkitkan mereka dari tidurnya, dan membuatkan mereka tertanya-tanya sesama sendiri.

‘Berapa lama kita tidur?
‘Mungkin kita tertidur seharian atau separuh hari’
‘Allah jua yang lebih mengetahui’

Tetapi hal tidur ini bukan utama bagi mereka. Biarlah waktu dan tempoh tidur itu terus menjadi rahsia di antara rahsia-rahsia Allah. Itu kesimpulan akhir mereka. Bukankah dalam kerja-kerja dakwah ini penuh dengan rahsia-rahsia dari Allah. Termasuk bilakah akan tibanya hari keimanan dan kemenangan. Andainya manusia tahu semua perkara, maka apa perlunya lagi usaha, langkah, rancangan dan waspada.

‘Ayuh, seorang dari kita perlu keluar mencari makanan’ Ujar seorang pemuda. Lantas salah seorang dari mereka dipilih. Mereka perlu makan, jika tidak makin mudarat jadinya nanti. Jika ada seorang yang sakit seluruh langkah usaha mereka akan perlahan atau lumpuh dengan gangguan itu.

Tidak, mereka tidak ingin mati kelaparan di sini. Andainya itu berlaku, sia-sialah usaha mereka selama ini. Biarpun memang akan ada risiko yang bakal berlaku dalam setiap tindakan dan keputusan mereka, tetapi biarlah mereka mengambil risiko yang paling kecil. Itulah pendirian mereka.

‘Bawa wang perak kamu ke bandar dan pilihlah makanan yang baik dan halal’

‘Bawalah pulang ke sini makanan dari kota, tetapi ingat saudara perlu berhalus dan berhati-hati dalam semua segi dan perlakuan’. Pesan mereka lagi kepada saudara mereka itu agar jangan sampai mata-mata musuh kenal dan sedar kehadirannya di tengah khalayak.

‘Jika tidak, mereka akan merejam dan bunuh atau mereka akan paksa kamu meninggalkan akidah ini’

Dipendekkan cerita, Allah dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya manusia mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Mungkin bagi manusia, tidur hanya perkara yang kecil. Tetapi ia adalah suatu rahsia dari Allah yang amat besar.

Mungkin bagi Ashabul Kahfi, mengambil langkah kecil dan bertahan di gua adalah suatu mudarat kecil yang terpaksa mereka hadapi. Langkah bagi mereka untuk menyelamatkan mudarat besar yang tak terduga dan dakwah yang mereka harapkan terus berpanjangan.

Tetapi Allah jualah pemilik dan pengatur yang mutlak terhadap rahsia yang berlaku di gua yang kecil. Allah juga biarkan kita terus-menerus tertanya-tanya berapakah bilangan Ashab al-Kahfi seperti pemuda-pemuda bertanya-tanya sesama sendiri berapa lamakah mereka tertidur. Allah biarkan kita tertanya-tanya dan tidak terduga banyak perkara dan kejadian. Agar kita tidak berhenti untuk mencari-cari rahsia dan kemukjizatan-Nya. Agar jiwa kita hidup, tidak buntu dan sentiasa berfikir seperti pemuda Ashabul Kahfi.

Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran) dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Sesungguhnya kisah Ashab al-Kahfi hanyalah secebis dari rahsia keagungan Allah. (Al-Kahfi: 22 )

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dan sembilan lagi –(Al-Kahfi: 25)

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya. – (Al-Kahfi: 26)

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? – (Al-Kahfi: 9)

Kisah ini diambil sumbernya dari Surah al-Kahfi bermula dari ayat 9 sehingga 26. Kesemua dialog dan gambaran mereka di dalam gua adalah dari ayat-ayat berkenaan.
loading...

No comments

Powered by Blogger.