Angkara Keliru Nama, Jenazah Lelaki Mualaf Dibakar Dan Hanya Tinggal Abu.. ALLAHU AKHBAR, Seksanya Jenazah !!!
JENAZAH lelaki mualaf, Hassan Abdullah, 74, atau nama asalnya, Lin
Ah San @ Lim Ah San disempurnakan mengikut ajaran Buddha selepas Unit
Forensik Hospital Kajang, tersalah serah jenazah itu kepada sebuah badan
kebajikan, semalam.
Lebih menyedihkan sebaik perkara itu disedari, jenazah sudah dibakar dan hanya abu yang tinggal.
Nama Lin Ah San @ Lim Ah San dikatakan hampir sama dengan Chu Kim
San, 70-an yang turut ditempatkan di unit forensik hospital itu.
Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Mohd Azmi Md Zain berkata,
kekeliruan berlaku apabila ada dua mayat lelaki Cina di unit forensik
itu yang mempunyai nama yang hampir sama dipercayai punca pengurusan
unit forensik tersalah menyerahkan mayat.
Menurutnya, lelaki mualaf yang juga penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah
meninggal dunia di Hospital Kajang akibat penyakit tua dan pihaknya
dimaklumkan mengenai kematian itu, kira-kira 10 pagi semalam.
“Wakil kami pergi ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk menuntut
mayat. Namun, pihak pengurusan unit forensik memaklumkan, beberapa
prosedur perlu dilakukan untuk menuntut mayat terbabit dan dijangka
mengambil masa,” katanya hari ini.
Mohd Azmi berkata, mereka menyedari berlaku kesilapan kira-kira jam 3
petang semalam apabila mendapati jenazah itu sudah tiada dan
dimaklumkan diserahkan kepada wakil sebuah badan kebajikan kerana keliru
dengan nama kedua-duanya yang hampir sama.
“Pihak hospital kemudian menghubungi pengurusan rumah kebajikan itu dan mereka memaklumkan mayat terbabit sudah dibakar.
“Pihak hospital sudah menyerahkan abu mayat lelaki mualaf itu kepada
kami, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini untuk dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang,” katanya.
Katanya, satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ketika
dihubungi berkata, pihaknya masih menyemak status kes ini dan akan
memaklumkan perkembangan lanjut mengenainya sebaik mendapat maklumat
lengkap berhubung kejadian itu.
Sumber : Harian Metro
loading...
Post a Comment